Sukar diramal, kekuatan seimbang

Unknown | 6:30 PM | 0 comments

KUALA LUMPUR - Kumpulan yang paling unik dalam Piala Malaysia kali ini kerana memperlihatkan hanya pasukan negeri sahaja akan bertarung sesama sendiri, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan saingan melibatkan Terengganu, Sarawak, Perak dan Kedah cukup seimbang.
Walaupun berdasarkan pencapaian liga, Terengganu mungkin boleh diletak sebagai pilihan, namun jika prestasi mutakhir dijadikan penilaian, tiada mana-mana pasukan boleh mendabik dada dan berasa terlalu yakin untuk ke suku akhir dengan mudah.

Seperti mana yang dibimbangi pengendali skuad Penyu, Abdul Rahman Ibrahim, mereka pasti berdepan keletihan kerana terpaksa mengembara jauh setiap kali bermain di tempat lawan.
Itu pasti menjadi cabaran tambahan buat Terengganu yang mahu mendakap kembali piala keagungan bola sepak negara itu semenjak tahun 2001.

Sukar untuk diungkapkan terhadap prestasi Terengganu kerana ada kalanya mereka kelihatan sebuah pasukan yang cukup gagah namun ada masanya, anak-anak buah Abdul Rahman boleh tewas di tangan pasukan yang tidak diduga.

Beraksi di tempat sendiri, Terengganu kalah 0-2 kepada Perak yang menduduki tangga tercorot liga pada masa berkenaan, namun dalam beberapa perlawanan kemudian, mereka mampu mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas juara Piala FA, Pahang, satu sindrom yang sentiasa dikeluhkan Abdul Rahman.
Beliau sebenarnya mempunyai banyak pilihan dalam pasukannya kerana dibarisi bukan calang-calang pemain seperti Nor Farhan Muhammad, Ashaari Samsudin, Zairo Anuar Zailani dan Ismail Faruqi .
Semua pemain ini kaya dengan pengalaman, namun persoalannya rentak konsisten mampu ditampilkan oleh Terengganu pada saingan Piala Malaysia.

Sarawak yang belum pernah mengucup kejuaraan Piala Malaysia pasti mahu menebus kehampaan tahun lalu apabila tersekat di separuh akhir dan menghadiahkan sesuatu kepada penyokong yang sentiasa teguh di belakang Bujang Senang.
Kekuatan Sarawak banyak bergantung kepada bahagian tengah kerana dilengkapi beberapa pemain berbakat seperti Joseph Kalang Tie dan Junior Eldstal selain kepantasan S. Chanturu, Ashri Chuchu dan Mohd. Rasyid Aya.

Pemain-pemain ini sentiasa menjadi duri dalam daging kepada lawan.
Rentak serangan Sarawak juga banyak berubah semenjak kehadiran Ryan Griffiths yang menggantikan penyerang Iran, Alireza Abbasfard, apabila berjaya meledak empat jaringan dalam sembilan perlawanan.
Pemain dari Australia yang banyak berkelana di China itu cukup klinikal di hadapan pintu gol lawan.

Jangan sama sekali memandang rendah terhadap kemampuan Perak yang bagaikan mendapat tonik selepas mendapat sentuhan orang lama Karl-Heinz Weigang selaku pengarah teknikal namun digantikan oleh bekas jurulatih Negeri Sembilan, Divaldo Alves sebelum saingan Piala Malaysia mungkin menimbulkan sedikit persoalan.
Menang enam daripada sembilan perlawanan terakhir Liga Super, Perak bukan sahaja terselamat daripada terjerumus ke Liga Perdana pada musim hadapan.

Malah, ia turut memberikan satu motivasi buat skuad The Bos Gaurus mencipta sesuatu pada persaingan Piala Malaysia selain memegang rekod yang baik ke atas Terengganu, menang kedua-dua perlawanan di tempat sendiri dan lawan.

Tiga import terbaru yang diambil pada pintu perpindahan kali kedua, Abdulafees Abdulsalam, Milan Purovic dan Marco Tulio Silva banyak menukar wajah Perak dalam keadaan sekelip mata.

Kehadiran mereka jelas menyaksikan Perak tampil begitu berbeza dengan 13 daripada 22 gol The Bos Gaurus yang berjaya dihasilkan dalam aksi Liga Super berpunca daripada gabungan mereka bertiga.

Kehadiran Kedah tidak wajar dianggap sebagai pelengkap saingan memandangkan semenjak dikendalikan bekas penolong jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, skuad Lang Merah hanya tewas sekali sahaja dan berjaya mendaki ke tangga keempat Liga Perdana.

Kombinasi dan tahap disiplin yang dipamerkan oleh ramai pemain muda seperti Muhd. Syazwan Zainon, Mohd. Syamim Aliff, Muhammad Farhan Roslan dan Muhammad Syafiq Ahmad digabungkan bersama beberapa pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen dan Faizal Abu Bakar, Kedah boleh terbang tinggi pada saingan kali ini.

Bukan sesuatu yang mustahil untuk melihat Kedah mampu menjadi salah satu pasukan yang boleh mencuri tumpuan dalam Kumpulan B.
Jika semua pasukan lain memandang rendah terhadap Lang Merah mereka ternyata silap dan harus menarik balik semula persepsi tersebut.


Category:

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments