Bataskan tingkah laku
Bagi setiap pasangan yang ingin bergelar suami isteri, pasti semakin dekat waktunya, semakin berdebarlah rasa hati untuk menempuh alam baharu.
Namun, bertemu dengan pelakon dan penyampai radio Ultra 101.3 FM, Mon Ryanti, dia mengakui teruja untuk menempuh alam baharu tetapi dalam masa yang sama juga berasa gentar.
Bagi Mon, satu persatu kisah perceraian melibatkan artis membuatkannya berasa takut untuk bergelar seorang isteri.
"Memang saya takut. Apatah lagi, masa saya nak bertunang pada Jun lalu, satu persatu kes cerai melibatkan pasangan selebriti berlaku.
"Ketika itu memang saya berfikir sama ada mahu meneruskan perkahwinan ini atau tidak kerana rasa takut sekiranya berlaku perkara yang tidak baik," jelasnya.
Tambahnya, tapi dia sedar yang perkara seperti itu perlu diharungi dengan hati yang tenang kerana dugaan pasti akan datang.
"Alhamdulillah, setakat ini saya masih lagi kuat dan positif dengan perkahwinan. Saya sentiasa menitipkan doa supaya dielakkan daripada terjadi perkara-perkara sedemikian," jelasnya.
Ditanya pandangan tunangnya, jelas Mon, Muhammad Hasrul Ali, tidak begitu gemar untuk mengambil tahu perkara-perkara negatif seperti ini.
"Saya ada juga bercerita dengan Hasrul tentang rasa takut saya bila melihat pasangan selebriti yang bercerai tetapi dia lebih suka diam.
"Lagipun dia tidak mengambil tahu sangat tentang perkara-perkara melibatkan industri seni. Tetapi dia pesanlah jangan terlalu fikirkan tentang perkara itu," katanya.
Ditanya tentang persiapan perkahwinan, ujar Mon, semuanya sedang berjalan dan pernikahan akan dijalankan pada September cuma tarikhnya sahaja yang belum pasti.
"Persiapan kahwin sekarang semuanya berjalan dengan lancar dan sedang diuruskan oleh saya dan keluarga.
"Majlis resepsi juga akan diadakan di dua tempat iaitu di rumah saya di Johor Baharu dan rumah tunang saya di Kuala Lumpur," jelasnya.
Tahu batas seorang isteri
Pastinya bergelar seorang pelakon dan isteri bukanlah mudah kerana terdapat batas-batas pergaulan yang perlu diambil kira.
Baru-baru ini contohnya, Diana Danielle sempat menegur Nora Danish yang berpegangan tangan bersama suaminya, Farid Kamil ketika mempromosikan filem terbaharu.
Ternyata, walaupun suami isteri adalah seorang pelakon yang cukup masak dengan kerenah dan tingkah laku dunia hiburan, masih terselit rasa cemburu.
Begitu juga dengan Mon, bakal suaminya, Muhammad Hasrul awal-awal lagi sudah memberi pesan kepadanya untuk sentiasa menjaga batas-batas dirinya sebagai seorang isteri.
"Walaupun sudah bergelar isteri, kerjaya seni saya tetap akan berjalan seperti biasa. Lagipun, bakal suami saya juga tidak kisah jika saya terus berada dalam industri.
"Cuma, dia ada berpesan supaya saya sentiasa menjaga batas-batas terutamanya dalam lakonan dan ingat status saya sebagai seorang isteri," ujar Mon.
Tambahnya, dia juga selepas ini akan melihat dahulu watak-watak yang ditawarkan sebelum menerima bagi mengelak salah faham melibatkan rumah tangganya.
Diajukan soalan tentang bergelar seorang ibu selepas perkahwinan, jelas Mon, dia menyerahkan perkara itu kepada tuhan.
"Soal anak, saya serah kepada ketentuan tuhan. Itu adalah rezeki pemberian tuhan dan saya menerima. Lagi cepat lagi bagus.
"Lagipun saya seorang yang memang suka dengan kanak-kanak, jadi kalau dapat anak sendiri lagilah seronok rasanya," kata Mon.
Category: HIBURAN
0 comments