Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, Anwar kelihatan begitu bersemangat dalam setiap program kempen bertemu dengan orang ramai di Port Dickson.
“Keadaan beliau adalah baik. Anwar itu lelaki bionik, ada titanium di bahunya malah saya difahamkan beliau turut meluangkan masa bersenam di pantai pagi ini.
“Alhamdulillah, saya lihat beliau bersemangat tinggi dan daripada segi kesihatan tiada apa-apa masalah,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Port Dickson di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar dalam akaun Facebook miliknya turut berkongsi gambar beliau bersenam di sekitar pantai Teluk Kemang di sini pagi ini.
“Pagi ini luang masa untuk berlari-lari anak di sekitar pantai Teluk Kemang. Meski terkekang dengan jadual padat kempen, kesihatan dan stamina jangan diremehkan, ternyata permulaan yang menyegarkan untuk hari ini,” katanya.
Sejak bermula tempoh berkempen pada Sabtu lalu, jadual Anwar dilihat padat apabila perlu menghadiri purata lima program setiap hari termasuk dua program ceramah setiap malam.
Julai lalu, Anwar yang juga Presiden PKR telah menjalani dua pembedahan termasuk pada bahu kanannya di sebuah hospital di Istanbul, Turki.- UTUSAN ONLINE