MH17: 20 PAKAR PSIKOLOGI DIKERAHKAN MEMBANTU
KUALA LUMPUR 18 Julai - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) akan menempatkan lebih 20 pakar psikologi untuk membantu keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas pada Khamis di Ukraine.
Timbalan Pengerusi MCIT, Dr. Abdul Jalil Hassan berkata mereka akan ditempatkan di beberapa lokasi terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
"Kami akan menempatkan ahli-ahli kami di sana yang akan bertindak sebagai pasukan profesional membantu menangani masalah tekanan perasaan, konflik dan kebimbangan selain menstabilkan emosi keluarga penumpang dan anak kapal dalam tragedi itu.
"Sejurus kami mendengar kejadian itu, saya telah mengambil beberapa langkah untuk bentuk pasukan, sebab kami pernah mempunyai pengalaman sewaktu kejadian kehilangan pesawat MH370," katanya.
Mercy Malaysia sebelum ini turut mengumumkan untuk menempatkan lebih 50 pakar psikologi dan kaunselor sukarelawan di KLIA bagi tujuan sama. - BERNAMA
Category: MH17
0 comments