WANITA INI BERBAU IKAN SEJAK AZALI LAGI

Unknown | 11:47 PM | 0 comments


 


SEJAK disahkan menghidap penyakit sindrom bau ikan, Cassie Graves, 22, terpaksa mengunyah sedozen gula-gula getah perisa pudina bagi mengembalikan semula kesegaran nafasnya.
Bau hanyir tersebut dikatakan terlalu kuat sehinggakan penyanyi kelab malam itu dilarang mengambil makanan yang boleh menyebabkan bau badannya merebak ke segenap ruang.
Cassie mengalami trimetilaminuria iaitu gangguan metabolik yang jarang berlaku di mana badan tidak boleh memecah unsur trimetilamin yang ada dalam makanan tertentu.
Bahan kimia yang tidak dapat diproses menjadi air kencing itu dikatakan punca badan berbau hanyir.
Menurut gadis yang berasal dari South London itu, bau badannya sama seperti ikan yang sedang membusuk di pasar.
"Bau busuk ini datang daripada peluh yang keluar dari kulit dan rambut.
"Tidak kira berapa kali saya mandi, bau ini tetap ada dan sukar dibuang," katanya.
Keadaan tersebut menyebabkan ibu Cassie melarangnya ke sekolah sebelum ini kerana bimbang dia dibuli oleh rakan sebaya.
Lebih pelik apabila Cassie sendiri tidak dapat menghidu bau badannya dan terpaksa bergantung kepada orang di sekeliling untuk memberitahu perkara tersebut.
CASSIE ketika berusia tiga tahun.


Ujar Cassie, pada mulanya dia tidak mengetahui mengenai penyakit misterinya itu. Bagaimanapun, ketika berusia tiga tahun, dia selalu dimarahi oleh kakaknya kerana badannya berbau busuk.
"Semasa kecil saya berkongsi bilik tidur dengan kakak dan disebabkan itu, kakak selalu mengadu kepada ibu mengenai bau badan saya yang sangat busuk.
"Ibu hanya menganggap itu perkara biasa bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Namun lama-kelamaan, bau tersebut semakin kuat sehingga tiada siapa yang tahan menghidunya," jelasnya
Walaupun telah bertemu dengan beberapa orang doktor, namun, bau hanyir badan Cassie masih belum menemui penawar.
Sindrom tersebut hanya dapat dikenal pasti selepas ibunya terdengar satu slot kesihatan di radio yang membincangkan topik sindrom bau ikan.
"Sejak itu saya mula mengenal pasti makanan yang perlu dielakkan seperti daging, ikan dan sayur-sayuran berdaun hijau gelap.
"Selepas setahun berpantang dengan makanan tersebut, saya mula mengambil ikan di dalam diet makanan harian. Namun, apa yang mengejutkan, badan dan seluruh bilik saya akan berbau hanyir keesokan harinya," jelas Cassie.
Dalam pada itu, perunding perubatan metabolik di Hospital Universiti Kolej London berkata, trimetilaminuria merupakan satu penyakit baharu di mana doktor sendiri belum dapat memastikan puncanya.
"Pesakit perlu mengambil masa yang lama untuk merujuk keadaan ini kepada pakar tertentu.
"Sehingga kini, rawatan yang disyorkan ialah pengambilan diet rendah trimetilamin di samping tidak mengambil makanan seperti ikan, daging merah dan telur," jelasnya.

Category:

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments