Kes buli: Kertas siasatan tetap dibuka

Unknown | 6:20 PM | 0 comments

KUANTAN 16 Julai - Polis tetap membuka kertas siasatan berhubung kes wanita yang didakwa membuli seorang warga emas dengan menggunakan sebatang kunci stereng kereta di tempat letak kenderaan, Pusat Transformasi Bandar (UTC) sini, kelmarin, walaupun mangsanya telah memaafkan perbuatan itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan terhadap kes itu dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana kepada harta benda dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
"Kita telah membuka kertas siasatan selepas satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai polis. Kita akan lakukan siasatan sewajarnya berhubung kes ini.

"Walaupun warga emas itu telah memaafkan wanita ini namun polis tetap pandang serius kerana kita tidak mahu pembuli jalanan ini menjadi budaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan taklimat pencegahan jenayah melibatkan pasar raya, bank, kedai emas, pajak gadai, stesen minyak dan syarikat keselamatan.
Dalam rakaman video berdurasi kira-kira dua minit itu, wanita berkenaan yang memandu kereta jenis Peugeot mengamuk dan mengetuk kereta seorang warga emas dengan pengunci stereng selepas keretanya dilanggar lelaki berkenaan.

Sejak dimuat naik di laman sosial serta Facebook, ia telah dikongsi dan dilihat lebih 150,000 pengguna laman sosial.
Abdul Aziz seterusnya menambah, pada mulanya kes itu hanya melibatkan kesalahan trafik tetapi apabila video wanita berkenaan membuli tersebar dalam laman sosial sejak semalam, polis telah membuka kertas siasatan.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya membiarkan pihak polis untuk menjalankan siasatan dan jangan mengeluarkan sebarang kenyataan di laman sosial.

"Kita ada undang-undang dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Saya juga ingin menasihati pengguna jalan raya supaya lebih sabar terutamanya pada bulan Ramadan ini.

"Ini kerana pada bulan Ramadan jumlah kenderaan di jalan raya akan meningkat dan menyebabkan kesesakan lalu lintas, justeru orang ramai perlu bersabar dan mengawal kemarahan mereka," katanya.


Category:

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 comments