KAJOL TIRUAN DIDENDA LAGI
Akibat tidak serik berpakaian seperti
perempuan, penyanyi dikir barat tersohor Kelantan, Kajol terpaksa
melupakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini apabila dia dihukum
penjara enam minggu dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di
sini hari ini.
Kajol atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Jeffri, 28, dijatuhi hukuman
itu setelah mengaku bersalah berlagak seperti perempuan dengan memakai
baju perempuan berwarna hitam, bercoli hitam, bersubang serta membawa
beg tangan di tapak ekspo Felda Aring 6 di sini kira-kira pukul 11.45
malam, 7 Mei lalu.
Hakim Syarie, Zubaidi Sulaiman memutuskan demikian setelah mendapati
pemuda itu tidak serik dan melakukan kesalahan tersebut sebanyak tiga
kali dalam tempoh empat tahun.
Zubaidi berkata, hukuman kali ketiga ini diharapkan dapat memberi
kesedaran kepada tertuduh untuk memperbaiki diri serta insaf dengan
perbuatan yang dilakukan.
"Perbuatan yang dilakukan berulang kali oleh kamu ini adalah
perbuatan songsang dan dilaknat oleh Allah SWT. Saya menyeru kamu
bertaubat kerana kamu sebagai seorang selebriti telah menonjolkan imej
buruk dan boleh mendorong kepada penyakit sosial dalam kalangan
masyarakat," kata beliau.
Beliau memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini.
Ketika pertuduhan dibacakan oleh Pembantu Pendaftar Mahkamah Rendah
Syariah, Kamarulzaman Mohamad, tertuduh yang mengambil nama aktres
Bollywood, Kajol sebagai nama gelarannya kelihatan menangis teresak-esak
sebelum membuat pengakuan bersalah.
Mohd. Hafiz didakwa mengikut Seksyen 7 Kanun Jenayah Syariah Negeri
Kelantan yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara
sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, Kajol yang masih belum berkahwin memohon hukuman denda
diringankan dengan alasan dia merupakan tempat bergantung untuk menyara
keluarganya yang susah.
Bagaimanapun, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa
Syarie Kelantan, Ramlee Abd. Rahman membantah alasan yang dikemukakan
oleh Kajol dan berpendapat perbuatan yang dilakukan itu sungguh aib
sebagai seorang Islam.
Kajol mempunyai dua rekod lampau bagi kesalahan sama dengan kali
pertama dia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Pasir Mas pada
2010 manakala kesalahan kedua, dia turut didenda RM1,000 atau penjara
lima bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah pada 2011 BACA disini
Category: HIBURAN
0 comments